PUSAT KRAF ORANG ASLI

Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbun merupakan pusat setempat bagi aktiviti kraftangan dan kebudayaan masyarakat Orang Asli daripada etnik Mah Meri.
Pusat kraf ini telah dibina oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007, di bawah pelaksanaan program Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
Pembinaan pusat ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil kraftangan, di samping membantu para pengusaha kraf khususnya penduduk setempat dalam menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi komuniti. Selain itu, pusat ini juga berperanan memulihara kesenian dan kebudayaan Orang Asli agar terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbun diuruskan sepenuhnya oleh komuniti Orang Asli dan dibuka kepada orang awam serta pelancong. Pengunjung berpeluang melihat secara dekat proses penghasilan produk kraftangan, persembahan seni budaya serta memahami gaya hidup masyarakat Orang Asli, khususnya suku kaum Mah Meri.
Antara aktiviti yang boleh disertai oleh pengunjung dan pelancong adalah seperti berikut:
Jualan produk kraftangan dan herba tradisional
Demonstrasi ukiran kayu
Demonstrasi anyaman mengkuang dan pucuk nipah
Demonstrasi menyumpit, penyediaan makanan tradisional dan adat perkahwinan
Persembahan tarian Topeng Jooh
