TENTANG KAMI

Pusat Kraf Orang Asli  merupakan pusat setempat bagi aktiviti kraftangan Orang Asli Mah Meri. Selain keunikan seni ukiran kayu, suku kaum Mah Meri juga mempunyai adat resam dan kebudayaan tersendiri seperti tarian Jo’oh dan topeng.

Pusat Kraf ini dibina oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007 di bawah program Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Pembinaan pusat ini bertujuan meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil kraftangan disamping membantu para pengusaha kraf terutama penduduk setempat menjana ekonomi serta memulihara kesenian dan kebudayaan agar terus diwarisi.

Pusat Kraf diuruskan oleh Koperasi Asli Selangor Berhad dan di buka kepada pengunjung untuk melihat secara dekat penghasilan produk kraf dan juga kesenian kebudayaan serta gaya hidup masyarakat Orang Asli terutama dari suku kaum Mah Meri.

Antara aktiviti yang boleh disertai oleh pengunjung adalah seperti demostrasi kraf ukiran dan anyaman, menyumpit, pakej tarian jooh, pakej perkahwinan tradisi, penginapan rumah tradisi serta jualan produk kraftangan dan herba.

Untuk mendapatkan produk hasil tangan Orang Asli ini, pembelian secara talian disediakan.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi kami di talian 0193999676 atau email bumbunkraf@gmail.com

TARIAN JOOH DAN TOPENG

Tarian Jooh bersama tarian topeng merupakan kebudayaan suku kaum Mah Meri yang unik dan mendapat perhatian masyarakat terutama para pelancong. Persembahan tarian ini diadakan bagi meraikan sesuatu majlis adat resam seperti sambutan hari Moyang dan juga sebagai mengalu-alukan kehadiran tetamu.

Penari dan pemuzik kumpulan Jooh ini akan dilengkapi dengan pakaian tradisi seperti baju kulit kayu terap dan aksesori anyaman daun nipah.

Alat muzik yang digunakan adalah alat muzik tradisional seperti biola, tambo, gong dan tuntung. Tarian ini akan disertai oleh penari yang memakai topeng dengan gaya dan kisah tersendiri.

UKIRAN KAYU MAH MERI

Ukiran kayu berupa patung dan topeng dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mah Meri berdasarkan cerita-cerita tersendiri. Ukiran yang terkenal adalah ukiran patung Harimau Berantai yang dihasilkan oleh tokoh kraf mendiang Pion anak Bumbun, keunikan ukiran ini adalah kerana rekabentuknya iaitu rantai dan bola geliga.